Laporan Kem Sri Raudhah 2006

Posted on October 15, 2008

0


Tarikh: 21-23 April 2006
Tempat: Kem Sri Raudah, Gombak
Peserta: Remaja Lelaki 10-17 tahun
Setelah tiga siri diadakan di Pulau Pinang, tiba masa untuk melebarkan sayap dakwah di Lembah Kelang. Sengaja diadakan pada musim persekolahan, sekadar ingin melihat penerimaan masyarakat dan keupayaan yang dimiliki sekumpulan kecil mahasiswa UIAM yang memiliki kesedaran untuk berkongsi ilmu bersama adik-adik remaja. Andai program ini berjaya, insya-Allah cerahlah peluang dan berkobarlah semangat untuk dianjurkan pula pada musim cuti sekolah mendatang.
APRIL 23, Kem Sri Raudah, GOMBAK: Alhamdulillah, penat-lelah selama tiga hari menjalankan program Kem Penghayatan Sifat solat Nabi s.a.w. tamatlah sudah. Kejayaan ini tidak lain tidak bukan adalah kurnia Allah semata, hasil kerjasama antara warga INTIS.

Secara ringkas, program berjaya mencapai matlamat asas, iaitu membantu peserta yang terdiri dari kalangan remaja memahami prinsip aqidah dan ibadah yang merupakan tunjang agama Islam. Dari kuliah yang santai mengenai usul aqidah yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Fadhlan, pensyarah UKM dapat dilihat para peserta memahami konsep tauhid rububiyyah, uluhiyyah dan asma’ wa sifat. Ceramah mengenai tatacara solat disertai dengan nota ringkas dan praktikal dari beliau turut berjaya menanamkan tatacara solat berpandukan hadith-hadith sahih kepada peserta. Hasilnya, para peserta mampu merujuk kepada dalil-dalil ringkas yang termaktub dalam kitab-kitab hadith muktabar.

Seterusnya dalam LDK, para peserta dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil agar keberkesanan perbincangan terhasil. Dengan mahasiswa-mahasiswa UIAM yang terpilih menjadi fasilitator, para peserta sekali lagi diberi pengukuhan mengenai usul aqidah dan tatacara bersuci dan solat. Suasana pembelajaran yang nyaman – dengan deruan sungai dan kicauan unggas – ternyata memberi kelainan kepada para peserta. Ujian yang dijalankan menyebabkan para peserta berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik. Nyata sekali pendekatan ujian berjaya menanamkan usaha untuk mencintai ilmu di kalangan peserta.

Hari terakhir, para peserta dikehendaki mengembara di dalam hutan mengikut modul khas yang disediakan – mendapatkan kembali dokumen sulit yang telah dicuri musuh. Nyata mereka berhadapan dengan serangan musuh dan pelbagai halangan alam – agar mereka melihat tanda-tanda kekuasaan Allah. Serangan musuh yang berjaya mencederakan beberapa peserta menyebabkan mereka terpaksa menunaikan ibadah di dalam hutan – sambil mempraktikkan segala teori yang telah diajar dalam ceramah dan LDK. Bagaimana berwuduk dengan air segelas air, bertayammum, solat untuk mereka yang cedera – mencari arah qiblah di dlaam hutan – semuanya berjaya memupuk semangat untuk beribadah di kalangan remaja.

Buat semua warga INTIS – tahniah diucapkan, dan semoga Allah membalas jasa kalian. Semoga kita dapat bekerjasama lagi pada masa akan datang.

-Gambar-gambar menarik sepanjang program berlangsung-





About these ads
Posted in: Aktiviti, Laporan Kem