Mencari Solusi Jangka Panjang Buang Bayi

Posted on September 22, 2010

0


Penubuhan Sekolah Harapan di Melaka menimbulkan reaksi pro dan kontra di kalangan masyarakat. Hakikatnya, ia adalah salah satu langkah jangka pendek bagi menangani masalah pembuangan bayi. Akan tetapi usah dilupa tentang proses pencegahan yang telah Allah Taala terangkan di dalam wahyunya.

Lazimnya, bayi-bayi yang dibuang lahir daripada perhubungan seksual di luar nikah. Ada kalanya dia dibuang kerana perasaan malu, dan kadang-kala kerana tidak mampu menyara kehidupan anak tersebut. Punca kepada masalah ini ialah zina.

Di dalam al-Quran, Allah Tabaraka Wa Taala berfirman: Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan yang buruk  [Al Isra’ 17: 32].

Ayat ini jelas menunjukkan kita wajib menjauhi jalan-jalan yang mendekatkan diri kepada zina. Hal-hal yang membawa kepada zina jelas diterangkan di dalam hadis berikut:

Ditetapkan atas anak Adam bahagiannya daripada zina, akan diperoleh hal itu, tidak dapat dihindarkan. Kedua mata berzina dan zinanya dengan memandang (yang haram). Kedua telinga berzina dan zinanya dengan mendengar(yang haram). Lisan itu berzina dan zinanya  berbicara (yang diharamkan). Tangan itu berzina dan zinanya dengan memegang. Kaki itu berzina dan zinanya dengan melangkah (kepada apa yang diharamkan). Sementara hati itu berkeinginan dan berangan-angan, sedangkan kemaluan yang membenarkan semua itu atau mendustakannya. [Riwayat Muslim]

Pertama: Menundukkan pandangan. Allah berfirman:  Katakanlah (ya Muhammad) kepada lelaki yang beriman; Hendaklah mereka menahan pandangan mata mereka dan memelihara kemaluan mereka, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakkan. Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman; Hendaklah mereka menahan pandangan mata mereka dan memelihara kemaluan mereka [an-Nur: 30-31].

Menjaga pandangan termasuklah mengelakkan diri daripada menonton video dan gambar-gambar yang membuka aurat, aksi-aksi memberahikan. Ini kerana ia boleh menggalakkan manusia melakukan apa yang ditonton. Ibu bapa hendaklah memantau bahan bacaan, drama dan filem, serta laman web yang dilayari anak-anak mereka.

Kedua: Menjaga tutur kata dan pendengaran. Ini termasuklah menjauhi berbicara dengan bukan mahram tanpa sebab yang munasabah. Apatah lagi untuk bergurau sendai hingga membuat lawak-lawak lucah.

Selain daripada itu, ia juga mengajar kita bahawa budaya bergayut telefon, sms, chatting dan sebagainya untuk melepaskan rindu kepada bukan mahram adalah sesuatu yang terlarang. Sangat dikesalkan bagaimana sebahagian ibu bapa tidak kisah apabila anak mereka bergayut telefon setiap hari dengan teman istimewa masing-masing. Alasannya anak-anak sudah dewasa sedangkan itu adalah antara mukadimah ke arah zina.

Ketiga: Menjauhi bersentuhan dengan bukan mahram. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam : Ditusuk kepala seorang lelaki dengan jarum besi itu lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya [Sahih al-Jami, Shaikh al-Albani menyatakan ia sahih].

Bersentuhan ini boleh berlaku ketika bertepuk tampar dalam gurauan, bersalaman, berpegangan tangan, membonceng motosikal dan lain. Lebih parah lagi, apabila tanpa segan silu berpelukan di khalayak ramai.

Keempat: Tidak keluar dengan bukan mahram. Umat Islam di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam sangat menjaga hal ini hatta ketika di jalanan.

Abu Said Al-Anshari radiallahu anhu pernah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda kepada para wanita ketika baginda keluar dari masjid dan mendapati para lelaki bercampur baur dengan mereka di jalan: Berjalanlah kalian di belakang (jangan mendahului lelaki). Ini  kerana sungguh tidak ada bagi kalian hak untuk lalu di tengah-tengah jalan, tetapi bagi kalian hanyalah tepi-tepi jalan. [Sunan Abi Daud, Shaikh al-Albani menyatakan ia hadis hasan].

Jika pulang dari masjid pun dilarang untuk bercampur di jalanan, apatah lagi untuk keluar bersama-sama pergi membeli belah, bersiar-siar dan lain-lain. Sangat dikesali ramai ibu bapa tidak kisah anak perempuan mereka keluar dengan bukan mahram. Sebahagian lagi memberikan keizinan dengan alasan mereka hanya keluar sahaja dan bukan berzina. Realitinya, dengan keluar bersamalah berlakunya kes-kes rogol dan zina.

Kelima: Tidak berdua-duaan. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam: Tidaklah berdua-duaan lelaki bersama perempuan kecuali yang ketiganya adalah syaitan [Sunan at-Tirmizi, hadis hasan sahih gharib].

Dalam hadis yang lain: Janganlah seorang lelaki berkhalwat dengan seorang wanita kecuali bersama mahramnya [al-Bukhari dan Muslim].

Dalil di atas melarang berdua-duaan dengan bukan mahram. Lazimnya zina berlaku di tempat tersembunyi. Budaya dating jelas terlarang berdasarkan dalil-dalil di atas.

Pintu-pintu kepada zina hendaklah ditutup untuk menangani kes pembuangan bayi. Drama-drama, novel-novel, majalah dan sebagainya hendaklah dikawal agar tidak menyebarkan budaya yang menggalakkan budaya coupling, dating dan lain-lain.

Ibu bapa hendaklah bersifat tegas. Usah takut dilabel sebagai jumud. Fikirlah hikmah di sebalik garis panduan batas pergaulan yang Allah Tabaraka Wa Taala gariskan. Janganlah nanti kita kecewa si anak menconteng arang ke wajah keluarga, sedangkan tanpa kita sedari kita yang sebenarnya memberikan dan membenarkan mereka menconteng arang ke wajah kita.

Mohd Masri Bin Mohd Ramli

870123-14-5541

Pelajar tahun akhir, kuliah Ekonomis UIAM Gombak

***Penulis adalah pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Gombak. Beliau aktif di dalam bidang kefasilitatoran bersama INTIS Consultant.

Posted in: Artikel