Laporan Konvensyen Pemikir-Pemikir Islam Sejagat

Posted on December 12, 2010

0


LAPORAN KONVENSYEN PEMIKIR-PEMIKIR ISLAM SEJAGAT

TEMA : MEMBINA KEKUATAN UMMAH

 

Pada 4 dan 5 Disember 2010 yang lalu telah berlangsung Konvensyen Pemikir-pemikir Islam Sejagat yang bertemakan “Membina Kekuatan Ummah”. Konvensyen ini merupakan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu Perlis dengan kerjasama Yayasan Pok dan Kassim, yang bertempat di Dewan Warisan, Kangar, Perlis.

4 Disember 2010.

Majlis dimulakan pada jam 9 malam dengan persembahan nasyid tanpa instrument muzik oleh kumpulan Caliphs yang dibawaka khas dari Kolej Islam Antarabangsa, Kuala  Lumpur.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan Forum Perdana. Panelis pertama ialah Dr Abdullah Yassin. Panelis kedua ialah Dr Mohd Asri bin Zainal Abidin, iaiatu mantan mufti negeri Perlis . Manakala panelis ketiga ialah Dr. Juanda bin Jaya, iaitu Mufti Negeri Perlis. Moderator bagi forum ini ialah Ustaz Abdul Rasyid bin Idris, presiden Institut Al-Qayyim, Pulau Pinang.

5 Disember 2010

Pendaftaran bermula pada jam 8 pagi di pintu masuk Dewan Warisan, Kangar. Penyertaan adalah dari pelbagai tempat samada penduduk setempat, luar negeri Perlis, mahupun dari luar Malaysia. Beberapa wakil daripada luar Malaysia adalah seperti dari Singapura, Indonesia, Thailand, Laos dan Kemboja.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran berserta terjemahannya.

Majlis diteruskan dengan pembentangan oleh Persatuan Muhammadiyah, Singapura yang diasampaikan oleh Ustaz Abdul Rahim bin Abdul Nasir iaitu Naib Presiden 3, Persatuan Muhammadiyah. Beliau membentangkan isu dakwah di Singapura. Penduduk Islam khususnya kaum Melayu adalah golongan minoriti di Singapura, akan tetapi kebebasan mengamalkan agama Islam di Singapura walaupun tidak menyeluruh dan hanya berkait dengan perkara yang bersangkutan dengan perkahwinan, perceraiandan pewarisan di mana hukum shariah dilaksanakan. Menurut beliau lagi terdapat lebih sepuluh buah persatuan yang berdaftar dan diiktiraf oleh Majlis Ugama Singapura seperti Persatuan Muhammadiyah sendiri, Jamiyah, Persatuan taman Pengajian Islam Singapura (Pertapis), persatuan Ulama dan Guru Agama Singapura (Pergas), Persatuan Islam Singapura (Persisii), Himpunan Belia Islam (HBI), Perdaus dan Darul Arqam.

Dalam usaha memperjuangkan Al-Quran dan Sunnah, Muhammadiyah mempunyai objektif berasaskan kepada amar makruf nahi mungkar dengan berdakwah secara lisan kepada masyarakat untuk memenuhi tujuan dan matlamatnya mengadakan pengajian yang informal dari rumah ke rumah anggota dan simpatisan diikuti dengan risalah, penerbitan dan lain-lain lagi untuk membasmi segala jenis bid’ah yang boleh merosakkan agam Islam, serta berusaha menghidupkan kembali sunnah Rasulullah Sallallahu alaihi Wasallam. Pelbagai forum terbuka, ceramah dan sesi pebincangan telah diadakan seperti majlis forum yang bertajuk Muzakarah Hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, Seminar Kesinambungan Gerakan Sunnah dan lain-lain lagi.

Muhammadiyah semakin berkembang dengan membina pusat pengetahuan Islam dengan membuka institusi formal iaitu Pra-tadika dan Tadika, madrasah serta memulakan projek membina bangunan sebagai tempat ibadah, pejabat, bilik darjah dan pelbagai aktiviti untuk masyarakat setempat. Madrasah juga menekankan ilmu agama, Bahasa Arab selain tidak mengabaikan pembelajaran akademik dan komputer.

Oleh kerana pengurusan dan pentadbiran keseluruhan kegiatan Muhammadiyah memerlukan biaya yang berterusan, perniagaan digiatkan bagi menampung kesinambungan dana seperti Muhammadiyah Travel & Tours, Muhammadiyah Catering & Restaurant, MY2Kids Child Development Centre, Cottage Food Industries Pte. Ltd, Muhammadiyah Events Management.

Majlis Konvensyen diteruskan dengan pembentangan oleh Dr. Ismail Lutfi Japakiya, Rektor Universiti Islam Yala, Thailand. Beliau membentangkan mengenai kehidupan umat Islam di Thailand. Antara yang menarik yang diceritakan oleh beliau ialah bagaimana umat Islam diberikan peluang untuk mengetuai badan antara agama yang dikenali sebagai Inter Religion Council (IRC). IRC adalah satu badan yang menggabungkan kesemua agama di Thailand, dan lebih membanggakan lagi, kesemua wakil-wakil agama, bersepakat melantik Dr. Ismail Lutfi untuk mengetuai badan tersebut. Badan tersebut berfungsi untuk merapatkan hubungan rakyat Thailand yang berbilang bangsa, bahkan badan tersebut bertindak sebagai ko-ordinator mempromosi keamanan untuk bumi Thailand.

Selain daripada itu. Dr. Ismail Lutfi turut berkongsi pengalaman mengetuai Universiti Islam Yala. Pencapaian universiti itu sangatlah membanggakan. Hingga kini, mahasiswa dan mahasiswi di sana bukan lagi hanya terdiri daripada warganegara Thailand, bahkan terdapat pelajar-pelajar dari negara arab yang datang belajar di situ. Kata Ustaz Ismail Lutfi, inilah caranya mereka membalas jasa para ilmuan arab, jika dulu mereka belajar di dunia arab, sekarang mereka menyediakan tempat untuk pelajar-pelajar arab menuntut ilmu.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail disambut dengan istiadat. Manakala ucapan Dato’ Seri Shahidan Kassim digantikan oleh Puan Azihani binti Dato’ Ali daripada Yaysan Pok dan Kassim.

Seterusnya merupakan titah ucapan perasmian oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis.

Majlis diteruskan dengan ucapan khas oleh Dr Ismail Lutfi Japakiya sekali lagi, dengan tajuk beliau “Ummatan Wahidah Dasar Hidup Kita”. Beliau menjelaskan hakikat ummatan wahidah adalah umat yang satu di kalangan semua manusia, atas kebaikan Islam. Kemudian berlakunya perselisihan dan berpecah belah terhadap dakwah para nabi dan rasul berdasarkan tabiat kejadian manusia ciptaan Allah yang selalu berselisih kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Allah untuk menjadi umat yang satu dan akhirnya lahirlah ummatan wahidah di kalangan orang-orang Islam yang beribadah kepada Allah dengan ketaqwaan.

Beliau juga menekankan beberapa isi penting iaitu ummatan wahidah dari segi sunnatullah iaitu kehendak Allah untuk menguji hambaNya mengenai Kitab Allah yang dibawa kepada manusia. Selain itu, ummatan wahidah dari segi dakwah/syariat Allah iaitu hakikat ummatan wahidah ialah beribadah kepada Allah selaku tuhannya dengan penuh ketaqwaan. Dan dua cara hidup (ibadah = taqwa) itulah yang merupakan asas perpaduan ummatan wahidah. Terakhir ialah beliau menjelaskan bahawa ummatan wahidah adalah sebaik-baik ummat.  Cara menjadi ummatan wahidah adalah dengan beiltizam dengan agama Allah serta berwala’ antara sesama Muslim.

Majlis diteruskan dengan pembentangan Persatuan Islam (PERSIS) iaitu organisasi Islam terbesar ketiga di Indonesia yang mempunyai hubungan yang saling mempengaruhi dalam sistem kemasyarakatan dan kenegaraan di Indonesia. PERSIS secara rasminya ditbuhkan pada 12 Setember 1923. Organisasi ini bergerak berdasarkan sistem pesantren, sekolah dan universiti.  Pembentang menceritakan bahawa gerakan dakwah PERSIS juga menekankan isu-isu membanterasa khurafat, tahyul dan syirik yang diamalkan oleh penduduk setempat, lalu mendapat kritikan bahawa PERSIS menekankan isu-isu remeh. Sementelahnnya, isu-isu aqidah inilah yang mesti ditekankan dan diberi prioriti utama dalam apa juga dakwah Islamiyyah yang dijalankan.

Seterusnya ialah pembentangan oleh Ustaz Abdul Wahab daripada Muhammadiyah International, yang berpusat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Organisasi ini menjalankan misi dakwah kepada bukan Islam di kawasan pedalaman orang asli di Malaysia seperti di Sungai Siput, Perak, Pahang dan Johor. Selain itu, misi mereka menjangkau sehingga luar Malaysia di negara Indo-China seperti Tahiland, Laos, Kemboja dan Myanmar. Sebagaimana  yang kita ketahui, penduduk Muslim di negara-negara ini adalah minoriti dan nisbahnya dengan penduduk bukan Islam adalah sangat kecil. Ustaz Abdul Wahab menceritakan pengalaman beliau di suatu kawasan di Kemboja di mana penduduk Islam di sana yang sangat melarat hidup mereka, sehingga mereka kembali murtad. Pembentangan beliau sungguh menyentuh perasaan dan beliau sendiri menitiskan air mata kesedihan yang teramat atas musibah murtad yang melanda saudara-saudara di sana. Tetapi Alhamdulillah, misi mereka telah berjaya mengembalikan saudara-saudara ini kepada aqidah Islam semula. Kata-kata akhir Ustaz Abdul Wahab, berbunyi “ Sungai Mekong akan menjadi tempat berwudhuk” merupakan kata-kata simbolik yang memberi maksud, mereka bermatlamat menjalankan misi dakwah di negara Indo-China sehingga umat Islam akan bertambah ramai di sana.

Seterusnya ialah pembentangan oleh Ustaz Razali daripada Institut Al-Mizan, Terengganu. Beliau menceritakan tentang sistem pendidikan yang digunakan di pusat pengajian tahfiz al-Quran yang diketuai beliau. Antara yang menarik ialah di mana beliau menceritakan bahawa di sana, pelajar didedahkan dengan ilmu perbandingan antara agama (Comparative Religion/Muqaranul Adyan). Tujuannya adalah agar umat Islam tidak tersilap di dalam memahami agama orang lain.

Majlis berakhir pada jam 1 tengahari dan ditangguhkan dengan tasbih kaffarah, serta sesi fotografi.

Posted in: Laporan