JIM Menafikan Terbabit Dalam Memorandum Memfitnah Dr MAZA

Posted on November 12, 2009

0


Oleh Mohd Masri Bin Mohd Ramli

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.

 

Alhamdulillah. Berita ini satu hal yang menggembirakan. Tiada masalah untuk memberi pendapat, membantah, semua orang bebas dan berhak menyuarakan pandangan, tetapi untuk membuat pertuduhan, apatah lagi yang melibatkan akidah, ia adalah satu yang amat berat.

Mereka yang bertanggungjawab mengheret gerakan-gerakan Islam dalam fitnah ke atas Dr MAZA mesti memberi penjelasan kenapa gerakan-gerakan Islam yang dimasukkan dalam memorandum tersebut tidak dimaklumkan dengan tuduhan yang dikenakan ke atas Dr. MAZA. Apakah ada cubaan melaga-lagakan gerakan dakwah di Malaysia? Apakah ada tangan-tangan ghaib yang sedang mempergunakan nama-nama gerakan Islam yang masyhur di Malaysia untuk menabur fitnah?

Kata-kata Dr MAZA pada malam kuliah beliau ditangkap sering terngiang-ngiang di telinga. Beliau dengan tegas menyatakan bahawa mereka bebas untuk membuat memorandum membantah pelantikan beliau, tiada masalah untuk hal itu, tetapi untuk melakukan pertuduhan tanpa memberi sebarang bukti, ia adalah satu hal yang lain pula.

Gerakan-gerakan Islam perlu berwaspada dengan isu ini, berhati-hati, ada manusia yang mahu melaga-lagakan kita, dan tangan-tangan yang mengheret kalian ke dalam fitnah ini. Penjelasan yang jelas dan tegas daripada Presiden JIM ini amat berharga. Cuma persoalan, siapakah yang cuba mengheret nama-nama gerakan dakwah ke dalam fitnah yang mereka tabur ini?

Persatuan Peguam Syarie terutamanya Saudara Isa Ralip mungkin perlu menjawabnya kerana memorandum itu ditandatangani oleh beliau. Persoalan utama: Bagaimana nama-nama NGO Islam lain boleh diheret dalam membuat tuduhan tanpa persetujuan mereka?

PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)
11 November 2009/23 Zulkaedah 1430

zaid 2

PENJELASAN TERHADAP ISU DR ASRI

Isu yang berkisar tentang Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan PGSM masih belum menemui jalan penyelesaian. Dalam pada itu, pelbagai kekeliruan timbul tentang pendirian NGO Islam terhadap isu berkenaan. Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) ingin membuat beberapa penjelasan dan mengemukakan cadangan.

1. JIM tetap berpendirian bersama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan NGO Islam yang lain bersetuju memberikan pandangan kepada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong supaya Dr Mohd Asri tidak dilantik sebagai YDP YADIM. Berdasarkan pendirian inilah JIM turut disenaraikan sebagai penyokong memorandum kepada Yang DiPertuan Agong.

2. Walau bagaimanapun, JIM tidak selesa dan kesal dengan beberapa pertuduhan terhadap Dr Mohd Asri yang terdapat dalam memorandum tersebut. Ia seharusnya memerlukan kepada proses yang berhemah dan berhati-hati tanpa menzalimi mana-mana pihak. JIM tidak menerima deraf memorandum sebelum dihantar kepada Yang DiPertuan Agong. Pendirian JIM ini telah disampaikan dalam mesyuarat NGO-NGO Islam pada 6 November 2009.

Oleh itu JIM mengambil sikap “tawakuf” yakni berkecuali buat masa ini (“suspend judgement”), terhadap segala tuduhan yang ditimbulkan dalam memorandum tersebut.

3. Sehubungan itu, JIM dan semua NGO Islam yang lain telah bersepakat dalam mesyuarat pada 6 November 2009 supaya menumpu kepada jalan penyelesaian dengan diadakan satu majlis permuafakatan atau dailog ilmiah secara bersemuka dan tertutup agar hujah-hujah dapat disampaikan dalam suasana yang baik dan tenang serta dalam semangat mengangkat kekeliruan umat terhadap isu tersebut.

4. Turut dicadangkan ialah majlis tersebut dimudahcara oleh tokoh agama dan cendiakawan Islam yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Malah JIM bersedia mengambil inisiatif mengaturnya. JIM berharap kaedah ini boleh merungkai permasalahan dan inilah tuntutan Allah swt dalam Al-Qur’an, surah An-Nisa’ ayat ke-59.

5. Kehadiran JIM dalam sidang media bersama PGSM pada 6 November 2009 adalah untuk menjelaskan perkara 3 dan 4 di atas. Perlu ditegaskan bahawa JIM tidak terbabit dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh PGSM pada hari tersebut walaupun dilihat bersama semasa sidang media. Pada sidang media tersebut, JIM telah mengeluarkan kenyataannya sendiri yang turut dipersetujui NGO Islam yang lain dengan menyebutkan perkara 3 dan 4 di atas.

HJ ZAID KAMARUDDIN
Presiden JIM

 

Posted in: Artikel